Penat seharian bekerja & memerah otak menjawab soalan-soalan kontraktor membuatkan badan + otak begitu letih untuk menerima input. Letih yang sedia ada semakin bertambah, lebih-lebih lagi bila memikirkan banyak dateline yang perlu dikejar. Namun bila memikirkan erti tanggungjawab, 'letih' itu secara tiba-tiba hilang. Hari-hari kebelakangan ini, ingatan begitu kuat terhadap Mak dan Abah. Tak tahu mengapa begitu kuat ingatan terhadap kedua mereka.
Tahun ini Abah genap 59 tahun. Sewajarnya, di umur yang sebegitu Abah lebih banyak berehat dan melayan cucu-cucu seramai 9 orang. Lebih bagus lagi ditemani Mak setiap petang di halaman rumah. Selepas Isya', isi masa senggang berkumpul di kedai makan Along. Melihat kerenah dan ragam pelanggan yang pelbagai. Esoknya pagi-pagi ke pasar tani, juga berdua bersama-sama. Setiap kali bilal mengalunkan azan, kedua-dua mereka sudah bersiap untuk berjemaah di masjid bersama-sama.
Namun, itu semua hanyalah jadual imaginasi aku. Kenyataannya, jauh berbeza. Apa yang aku faham, Abah masih lagi kuat bekerja meskipun sudah 4 tahun bersara. Masih lagi mengerah keringat mencari rezeki untuk keluarga. Komitmen hidup yang tinggi menyebabkan Abah memilih inisiatif untuk terus bekerja walaupun sudah bersara. Puas Mak berleter dan tidak jemu berleter. Lebih-lebih lagi jika Abah bekerja double shift sekaligus.Tetapi, Abah tetap dengan kebiasaannya. Bekerja,bekerja, dan bekerja.
Tapi, aku cukup faham apa yang ada dalam fikiran Abah. Adik-adik yang masih belajar dan beberapa komitmen bulanan tetap yang lain menyebabkan Abah terus ingin bekerja.
Aku juga pernah menasihati Abah untuk berhenti bekerja. Tetapi tidak diendahkannya.
Apa yang aku tahu, aku tidak punya masa yang banyak untuk menggantikan tempatnya secara total. Komitmen keluarga telah lama aku kongsikan bersama Abah, semenjak bulan pertama aku bekerja 4 tahun dulu. Aku masih lagi terus berdoa agar dibukakan pintu rezeki yang berpanjangan untuk aku terus mencurahkan tanggungjawab pada Mak dan Abah. Aku hanya ada setahun lagi sebelum Abah menginjak umur 60 tahun. Bermula dari setahun akan datang, aku akan pastikan Abah mengikut 'jadual imaginasi' yang aku selalu inginkan. Dan bermula saat itu juga, aku harus menggantikan secara total apa yang telah Abah berikan selama 43 tahun hidupnya.
Tuhan...tunjukkan aku jalan terbaik untuk menjadikan harapan aku satu kenyataan, sebelum Engkau menjemput kedua-dua mereka kembali pada-Mu..
Tuhan...hulurkan lah petunjuk untuk aku bahagiakan mereka sepenuh-penuhnya, agar aku tahu aku lah anak yang bertanggungjawab pada kedua mereka...
No comments:
Post a Comment